LCD Text Generator at TextSpace.net

BAB 1

ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA










Integrasi Nasional







1.0 PENGENALAN


Dalam sesebuah masyarakat majmuk maka tunjang perpaduan terletak kepada hubungan baik antara kaum. Bagi merealisasikan perpaduan dalam sesebuah masyarakat, kerjasama dan tolak ansur antara mereka sangat penting demi untuk memastikan kesejahteraan hidup dapat dikecapi bersama. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat istimewa sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini. Keistimewaan Malaysia ialah merupakan sebuah negara kecil dan dalamnya terdapat kombinasi komuniti yang pelbagai. Malah, terdapat pula latar belakang yang berbeza-beza termasuklah adat, budaya, keturunan, bahasa dan agama. Kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia sentiasa dipandang oleh masyarakat antarabangsa yang lain khususnya sebagai model atau destinasi pelancongan luar negara.


Kemakmuran Malaysia hari ini merupakan hasil daripada satu proses sejarah yang panjang. Perpaduan yang wujud di Malaysia hari ini sesungguhnya merupakan sebuah kebahagiaan yang telah melalui beberapa proses interaksi, integrasi dan asimilasi antara masyarakat pribumi tempatan dengan masyarakat bukan pribumi tempatan. Proses ini mengambil masa yang agak panjang dan turut melalui zaman kedukaan. Melalui proses sejarah yang dilalui negara Malaysia, maka hari ini boleh dilihat bahawa perpaduan masyarakat Malaysia sangat utuh.


Timbul juga persoalan sejauh manakah kekuatan dan saemangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang memiliki kepelbagaian latar belakang? Sering kali kita lihat keutuhan perpaduan kaum di Malaysia tergugat atau menimbulkan perasaan tidak puas hati antara kaum yang wujud di negara ini.


Selepas kemerdekaan, negara menghadapi pelbagai masalah dalaman terutama masalah perpaduan dan integrasi antara kaum. Wujudnya Integrasi Nasional menunjukkan persefahaman antara kaum yang timbul sendiri tanpa paksaan. Dengan itu, negara akan mengalami keharmonian yang berpanjangan dan dapat dinikmati oleh masyarakat yang berbilang kaum.


Menurut Shamsul Amri (2007) integrasi ialah satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Noriati A.Rashid (2010) pula menyatakan integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, status sosial dan budaya untuk membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma serta mengamalkan kehidupan bersama. Daripada penyatuan yang terbentuk, maka akan wujudlah perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di dalam sesebuah negara.


Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses kerohanian atau spiritual yang merupakan hasil daripada satu penghayatan di mana akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).


Integrasi Nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.



2.0 TEORI HUBUNGAN KAUM


Proses integrasi nasional di negara kita boleh dianalisis berdasarkan model kontak di antara kumpulan etnik atau ras yang berbeza. Hubungan antara kaum boleh dilihat dari segi darjah ‘kedekatan’ yang bermula dengan hubungan yang terpisah sehinggalah hubungan yang berbentuk sebati.


2.1 PROSES INTEGRASI


1 Segregasi


Pada tahap ini kaum-kaum yang berbeza latar belakang mempunyai hubungan yang minimum. Ia merupakan hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di dalam sesebuah negara. Pemisahan berlaku dalam beberapa keadaan, di antaranya dari segi kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan, dan kemudahan-kemudahan awam. Mereka ini tinggal dalam satu kawasan tetapi kurang berhubung kecuali hanya berkaitan dengan hubungan ekonomi. Ini dapat digambarkan ketika zaman penjajahan Inggeris. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang atau tidak didasari oleh undang-undang.



2 Akomodasi


Proses di mana etnik-etnik menyedari norma dan nilai mereka antara satu dengan yang lain, namun mereka tetap mempertahankan budaya hidup masin-masing. Walau bagaimana pun mereka hidup secara harmoni dan menghormati antara satu dengan yang lain. Di peringkat pemerintahan pusat setiap etnik menghantar wakil yang mewakili etnik masing-masing. Namun dalam institusi-institusi tertentu seperti ekonomi dan pendidikan mereka adalah saling bergantungan antara satu sama lain. Negara Switzerland adalah contoh negara yang mempunyai hubungan etnik bersifat akomodasi, di mana etnik-etnik di dalamnya seperti Jerman, Perancis, dan Itali, saling membuat penyesuaian antara satu sama lain.



3 Akulturasi


Proses yang kadang kala dikenali sebagai asimilasi budaya dan terjadi apabila manusia dalam kumpulan minority menerima norma, nilai serta pola-pola tingkah laku (budaya) golongan majoriti. Proses ini merupakan proses meminjam atau menerima budaya golongan majoriti, tanpa mengubah unsur-unsur budaya asal.



4 Asimilasi


Merupakan satu proses yang kadang kala dikenali sebagai asimilasi struktur untuk membezakannya daripada akulturasi atau asimilasi budaya. Konsep asimilasi menyatakan tentang kemasukan ke dalam masyarakat dominant melalui persahabatan dan perkaitan rapat. Darjah asimilasi kelompok minoriti adalah berbeza-beza, iaiatu berdasarkan kepada perbezaan fizikal (seperti warna kulit) dan darjah sejauh mana ciri-ciri budaya berbeza dengan budaya kelompok dominan.



5 Amalgamasi


Ia merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis-jenis budaya dan ras yang baru. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi terjadi ialah perkahwinan campur antara etnik atau ras.


Kelima-lima proses yang telah dinyatakan menggambarkan cara bagaimana kumpulan minoriti menjadi sebahagian daripada arus utama masyarakat. Ia juga menggambarkan tahap-tahap perpaduan dan integrasi dalam masyarakat. Dengan adanya akomodasi di dalam masyarakat, sudah dapat mencerminkan bahawa masyarakat adalah dalam keadaan bersatu padu. Namun, keadaan integrasi yang sebenar hanya dapat dicapai bermula dengan berlakunya proses akulturasi, asimilasi dan akhirnya mengalami amalgamasi. Persoalannya sekarang ialah, peringkat proses yang manakah masyarakat negara kita sekarang ini berada? Adakah ,masih di peringkat akomodasi, atau di peringkat yang lebih tinggi? Jadi setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing ke arah integrasi nasional.



3.0 PERANAN PERSATUAN MENGIKUT KAUM DALAM SUMBANGANNYA


TERHADAP INTEGRASI NASIONAL


Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masing-masing.


Justeru itu, bagi mewujudkan integrasi nasional daripada pelbagai kaum di Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan ialah berusaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang lebih bersifat cintakan negara dengan menyatukan sekolah dalam satu sistem pendidikan yang seragam yang dahulunya terasing antara satu sama lain untuk mewujudkan satu pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama. Ia bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan menyatupadukan kaum dalam kalangan pelajar. Walaupun semangat perpaduan dan integrasi antara kaum telah diberi penekanan sejak murid berada di sekolah rendah lagi, namun penubuhan Sekolah Wawasan akan lebih mencapai objektifnya kerana murid berbilang kaum dipertemukan di bawah satu tapak persekolahan yang sama.


3.1 Penyata Razak 1956


Boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan menyatakan “Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan pelajar daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.” (Penyata Razak, perenggan 12, 1956) Sistem persekolahan yang berbeza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti bangsa. Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada.


Akta Pelajaran 1961 telah dirangka berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Walaupun hasrat dan tujuan Akta Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia ini, tetapi secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat itu memandangkan pola tempat tinggal yang berlainan. Misalnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum Cina tinggal di kawasan perlombongan dan kaum India di kawasan ladang-ladang getah. Dengan ini tentulah amat sukar untuk menyatukan mereka.


Selepas dari Laporan Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib. Bagaimana Dasar dan Rangka Kerja Dapat Mewujudkan Perpaduan dan Pembangunan Negara.Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu.


Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar. Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan.


Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Contohnya menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkah laku yang sewajarnya.



3.2 Penubuhan Sekolah Wawasan


Penubuhan Sekolah Wawasan Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan bahasa pengantar dan pentadbiran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan dan kantin. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way). Perlaksanaan sekolah wawasan akan mewujudkan persekitaran yang memberi peluang yang lebih luas kepada murid daripada pelbagai kaum untuk bergaul dan berinteraksi secara langsung dalam pelbagai aktiviti.


3.3 Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah


Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan pelajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.


3.4 Nyanyian Lagu Negaraku dan lagu Negeri


Amalan ini dilaksanakan pada setiap perhimpunan resmi sekolah. Semua warga sekolah bingkas bangun dengan sendirinya apabila dimaklumkan oleh pengacara majlis dan menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh semangat. Amalan ini dapat membina perasaan setia, cinta dan bangga kepada negara dan raja yang menjadi lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia.


3.5 Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan


Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena
memperingati hari ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.


3.6 Hari Keluarga dan Sukaneka


Program yang melibatkan seluruh warga pendidik, kakitangan dan beberapa orang pelajar boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga sekolah.


3.7 Acara kebudayaan dan kesenian


Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, dikir barat, nasyid, marhaban, berzanji dan lain-lain lagi yang disertai oleh pelajar, kakitangan dan guru sekolah. Selain dapat berhibur,semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan. Penyertaan dari pelbagai kaum harus digalakkan.


3.8 Majlis Sambutan Hari Raya dan Tahun Baru Cina


Setiap kali menjelang hari perayaan, sekolah mengatur program yang melibatkan seluruh warga sekolah. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam dunia sekolah yang kecil.




3.9 Perpaduan Politik


Perpaduan politik di Malaysia dapat dilihat bermula pada tahun 1950-an. Sistem ‘kerajaan campuran’ dari segi kepelbagaian kaum merupakan salah satu cara bagi menggabungkan fahaman politik berbilang kaum dan diperkembangkan lagi melalui system politik yang fleksibel. Ini jelas kelihatan apabila munculnya parti ‘Perikatan’ yang merupakan hasil gabungan dengan parti UMNO, MCA dan MIC. Keanggotaan parti komponen dalam parti ini juga semakin bertambah setelah kemunculan Barisan Nasional. Sistem ini juga tidak mengenepikan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak yang boleh menyertai kerajaan campuran pada peringkat pusat di Kuala Lumpur.


Kerajaan Demokrasi juga merupakan satu alternatif untuk mengatasi masalah perpaduan yang wujud. Semua warganegara yang memenuhi syarat dan tidak melanggar undang-undang negara boleh menyuarakan pendapat dan kritikan. pemilihan calon dalam pilihanraya juga adalah bebas dan adil. Calon yang memenangi pilihanraya dengan suara majoriti berhak menjadi wakil rakyat dan boleh menyuarakan aspirasi rakyat melalui Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat.


3.10 Perpaduan Ekonomi


Proses perkembangan ekonomi telah dirangka untuk membolehkansemua kaum menyertaisemua bidang dan peringkat kegiatan ekonomi. Untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaantelah mengambil langkah dengan mengintegrasikan ekonomi. Beberapa dasar pembangunan telah digubal seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, dan lain-lain dasar pembangunan ekonomi negara. Dasar- dasar ini diambil untuk memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan lebih sama rata dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tujuan dasar-dasar ini diperkenalkan adalah kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk meninggikan taraf hidup rakyatnya. Dasar- dasar ini juga merupakan satu usaha kerajaan untuk melibatkan semua rakyat menyertai pembangunan negara supaya negara boleh mencapai kemajuan yang lebih membanggakan.Dengan terhapusnya gejala perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum akan dapat melahirkan perpaduan dalam kegiatan ekonomi dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Ini akan meninggikan lagi taraf pembangunan ekonomi Negara.






3.11 Perpaduan Sosial dan Kebudayaan


Strategi jangka pendek adalah melalui pelaksanaan aktiviti yang menggalakkan interaksi dan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yangberbilang kaum. Strategi jangka pendek dilaksanakan secara berterusan diperingkat kebangsaan, negeri, daerah dan kawasan-kawasan Rukun Tetangga. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan melibatkan masyarakat setempat dari pelbagai peringkat umur dan keturunan etnik mencakupi bidang sosial pendidikan, sukan, rekreasi, kesenian dan kebudayaan serta kesihatan dan alam sekitar, kebajikan, keagamaan, ekonomi dan keselamatan. Lawatan-lawatan integrasi juga dianjurkan untuk para penduduk melawati wilayah-wilayah lain ketika majlis-majlis perayaan umum negara. Dengan adanya aktiviti yang berterusan ini, akan membolehkan rakyat berinteraksi dan menjalinkan perhubungan antara mereka. Di samping itu, dapat mewujudkan suasana persefahaman yang mesra dan harmoni.


Sementara itu, strategi jangka panjang pula dilaksanakan melalui dasar-dasar dan program-program kerajaan yang menjurus ke arah perpaduan nasional seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Belia Negara, Dasar Sosial Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan sebagainya termasuklah program-program sukan, kebudayaan dan perayaan-perayaan seperti majlis-majlis rumah terbuka Malaysia sempena menyambut hari perayaan-perayaan umum kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia.


Akhirnya apabila perpaduan dapat dijadikan sebagai satu budaya masyarakat Malaysia kita akan mencapai perpaduan dalam erti yang sebenar mewujudkan bangsa Malaysia yang kita telah tentukan sebagai matlamat terulung negara.


3.12 Perpaduan Pendidikan


Matlamat pendidikan Negara adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam memupuk semangat kewarganegaraan dan rasa bangga terhadap bangsa dan agama. Dasar yang dimainkan oleh pendidikan pula sangat penting dalam proses integrasi dan pembangunan sesebuah negara.


Pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak merdeka hingga ke hari untuk menyeragamkan sistem pendidikan. Jawatankuasa Barnes, Laporan Fenn-Wu,Ordinan Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan lain-lain dasar berhubung isu pendidikan berperanan untuk memupuk perpaduan. Pendemokrasian Pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan agar semua kaum atau etnik diberi perhatian dan peruntukan serta kemudahan yangsama dan adil dalam pendidikan sama ada mereka bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar.Oleh itu sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya terus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan sejak kecil hinggalah dewasa

4.0 KESIMPULAN


Sebagai kesimpulannya, dengan wujudnya integrasi nasional ia menunjukkan persefahaman antara kaum yang timbul sendiri dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum tanpa paksaan. Keharmonian yang berpanjangan dapat dinikmati oleh masyarakat. Jadi setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha ke arah integrasi nasional. Peranan semua pihak amat diperlukan dalam mencapai integrasi nasional. Pendidikan memainkan peranan yang sangat penting sebagai wadah untuk memupuk, memelihara dan menjaga perpaduan dan keharmonian rakyat yang berbilang bangsa ini. Justeru, tugas seorang guru sememangnya sangat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara ke arah mencapai Wawsan 2020 yang dihasratkan.


Seseorang guru perlulah menjadi penjana transformasi pendidikan Negara. Hal ini bertepatan dengan pemilihan tema Hari Guru tahun 2011 iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Tanpa guru, sudah tentu tidak akan lahir ramai cendakiawan, golongan profesional, usahawan, peniaga dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan negara kita selama ini. Muhyiddin Yassin (2011) semasa menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Guru 2011 meletakkan harapan yang tinggi kepada guru untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik, dan dengan itu memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi.


5.0 RUJUKAN


Buku


Isyak Saat. Pendidikan negara bangsa Malaysia. Cetakan pertama 2009. Penerbit Karisma Publications Sdn. Bhd.

Nazaruddin Hj. Mohd Jali, Ma’rof Redzuan, Asnarulkhadi Abu Samah, Ismail Hj. Mohd Rashid. Pengajian Malaysia. Cetakan 2001. Penerbit Prentice Hall.


Internet


http://www.slideshare.net/iloveislamsokmo/esei-full (24/4/2013)

http://personajohor.blogspot.com/2010_05_01_archive.html (28/4/2013)







Video: Integrasi Nasional


Pendemokrasian Pendidikan 


Pendemokrasian Pendidikan merupakan suatu proses mendemokrasikan pendidikan supaya setiap individu diberikan peluang dan hak yang sama untuk mendapat pendidikan serta kemudahan yang disediakan. Dengan kata lain, di bawah proses mendemokrasikan pendidikan , setiap individu diberi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan dan hak memilih jenis sekolah untuk belajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, keistimewaan, jantina, kaum , agama atau latar belakangnya.


Kepentingan pendekmokrasian pendidikan jelas diperlihatkan apabila ia dapat membasmi masalah buta huruf dalam kalangan penduduk dalam negara-negara kurang maju, keadaan ini dibuktikan dengan pelaksanaan sistem pendidikan melalui pendemokrasian yang memberi pendidikan kepada semua masyarakat di luar bandar. Selain itu, pendemokrasian pendidikan juga dapat merapatkan jurang pencapaian akademik kerana ketidaksamaan peluang dalam pendidikan. Jurang pencapaian akademik dipengaruhi oleh perbezaan kelas sosial, perbezaan sosialisasi bahasa dan perbezaan lokasi dan luar bandar.


Mengikut kajian Pierre Bourdieu (1930), ahli sosiologi pendidikan dari Perancis, pencapaian persekolahan seseorang individu adalah berkait rapat dengan latar belakang kebudayaan ibu bapanya, dan tahap pendidikan ibu bapa adalah lebih banyak mempengaruhi pencapaian persekolahan anak mereka daripada kedudukan kerjaya mereka dalam masyarakat. Isu ini juga dapat meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap pendidikan serta perkembangan terkini dan seterusnya menimbulkan minat mereka terhadap pendidikan secara amnya dan khususnya terhadap pendidikan anak-anak mereka.


Maka, tidak akan wujud lagi alasan tidak menghantar anak-anak ke sekolah disebabkan desakan hidup. Seterusnya, pendemokrasian pendidikan turut memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan diri serta kepentingannya dalam menentukan kelangsungan atau kesinambungan kegemilangan negara. Slogan “satu Malaysia” mempunyai kesinambungan dengan pendemokrasian pendidikan ini. “satu Malaysia” mendahulukan rakyat dalam segala aspek tidak mengira kaum dan bangsa terutamanya dalam pendidikan. Sistem pendidikan selama ini tidak pernah mengabaikan mana-mana golongan masyarakat sama ada golongan buta, cacat pendengaran dan bisu serta kanak-kanak ‘down syndrome’ juga mendapat pendidikan dalam negara.


Oleh sebab itu, kewujudan institusi pendidikan swasta dan pelbagai jenis sekolah iaitu SK, SKJ(C), SKJ(T) dan sebagainya merupakan sebahagian daripada agenda pendemokrasian pendidikan. Tidak cukup dengan itu, langkah sokongan untuk memantapkan lagi pelaksanaan agenda pendemokrasian pendidikan dalam aspek ini iaitu bantuan buku-buku teks melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pemberian biasiswa oleh Kementerian Pendidikan dan lain-lain agensi bagi mereka yang layak bertujuan agar kemiskinan tidak dijadikan alasan seseorang itu tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.


Hal ini jelas memperlihatkan langkah kerajaan untuk membangunkan pendidikan dalam kalangan rakyat supaya tidak ada lagi golongan yang hilang dalam arus pendidikan terutamanya generasi yang akan menjadi peneraju pucuk pimpinan kelak.


Oleh sebab itu, pendekatan, pelaksanaan dan amalan pendemokrasian pendidikan haruslah dinilai dengan membuat perbandingan dengan negara-negara yang lebih maju agar hasrat kerajaan untuk membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia akan terlaksana.


SUMBER : Nota Guru Pelatih





Tonggak Pendidikan UNESCO


Globalisasi Dalam Pendidikan


Isu Globalisasi Pendidikan Globalisasi Pendidikan adalah merupakan satu daripada cabaran yangberlaku dalam pendidikan masa kini yang perlu sentiasa dikaji dan diperhalusi.

Sebelum dikaji dengan lebih mendalam tentang cabaran dalam globalisasi pendidikan, definisi globalisasi pendidikan perlu difahami dengan jelas agar isu ini dapat ditangani dengan baik dan mendasari dari peringkat akarumbi. 

Di dalam kamus dewan edisi keempat, menyatakan globalisasi membawa definisi proses yang membolehkan sesuatu aktiviti seperti ekonomi, kebudayaan dan sebagainya disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau keseluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi sertadasar terbuka. (Kamus Dewan Edisi 4, 2005) 

Menurut Syed Ismail dan AhmadSubki (2010),globalisasi membawa maksud satu cara hidup dunia tanpa sempadan dan saling berkaitan antara satu sama lain. Selain itu, ia merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain (Syed Ismail dan AhmadSubki,2010) 

Pandangan Mok Soon Sang (2007) pula menyatakan globalisasi bermaksud merentasi sempadan dan media.Bagi Michael Gibbons (2003) dalamMok Soon Sang (2007), Setiausaha Agong Persatuan Universiti Komanwel(ACU) berpendapat bahawa globalisasi merupakan suatu proses berterusandalam perindustrian pendidikan yang telah berlaku lama dahulu. 

Maka, globalisasi pendidikan membawa definisi proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti (Michael Gibbons,2003). Menurut beliau lagi, globalisasi pendidikan akan memberi tekanan kepada guruagar dapat mengubah cara pengajaran tradisional kepada pengajaran moden serta berpandukan kepada hasil dapatan penyelidikan pendidikan yang terkini. 

Globalisasi dalam sistem pendidikan negara telah memberi banyak kesanterhadap pendidikan negara pada hari ini.Tindak balas daripada keterbukaan idea dalam keperluan dunia pendidikan hari ini telah memberi kesan yang baik  kepada kualiti hidup masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Dalam menempuh globalisasi pendidikan yang pesat berkembang ini sebenarnya telah membentuk banyak cabaran dan halangan yang perlu ditempuh oleh segenap lapisan masyarakat di negara kita dalam usaha untuk mencapai misi dan visi pendidikan negara iaitu meningkatkan taraf pendidikan bertaraf dunia.

Menurut HussainMohamed (1998) globalisasi menyebabkan pendidikan negara lebih terbukakepada dunia luar samada untuk belajar mahupun menubuhkan cawangan universiti mereka di negara kita. Hal ini selaras dengan keinginan menjadikanMalaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Dunia. 

Antara halangan dan cabaran yang perlu diberi perhatian meliputi keperluan terhadap pembelajaran berterusan, penggunaan teknologi telekomunikasi dan maklumat, pengurusan pendidikan,pembentukan jati diri murid serta kualiti guru.

Kelima-lima cabaran dan halangan ini memerlukan penyelesaian yang bersepadu daripada semua pihak agar globalisasi pendidikanyang berlaku dalam negara kita ini tercapai dengan sempurna dan baik. Bagi mendapatkan kaedah penyelesaian kepada cabaran dalam globalisasi pendidikan iaitu pembentukan jati diri murid, keperluan kepada guru untuk membentuk jati diri murid sepatutnya bermula daripada pra sekolah lagi.

Pada masa kini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan sedang diuji dengan keberkesanan pelaksanaannya dalam melahirkan individu murid yang mempunyai keseimbangan dan harmonis dari segi jasmani,emosi, rohani, sertaintelek. 

Dengan kemasukan proses globalisasi tanpa had ini menyebabkan juga kemasukan pelbagai budaya yang bercanggah dengan budaya setempat seterusnya terbitlah perlakuan dan sikap murid negative murid yang semakin membimbangkan. 

Globalisasi yang berlaku dalam pembentukan jati diri murid telah membawa kesan yang mendadak terhadap perlakuan dan norma kehidupan murid secara keseluruhannya.

Kesan negatif yang paling jelas hasil daripada globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama remaja di bangku sekolah yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya kehidupan barat.Menurut MohdDahlan & Ida Shafinaz (2010). Remaja pada masa kini merasakan bahawa mereka sudah cukup bijak untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara tanpakeperluan kepada mereka untuk mendapatkan nasihat daripada sesiapa pun termasuklah ibu bapa mereka. 

Menurut Mohd Dahlan dan Ida Shafinaz lagi,faktor persekitaran banyak mendorong kepada terjadinya masalah negatif kepada murid atau remaja ini. Hasil daripada globalisasi terhadap pembentukan jati diri muridmenyebabkan semua institusi pendidikan menghadapi halangan dan cabaran untuk menggarap akhlak anak-anak agar berada di landasan yang betul menurut acuan tempatan dan Islam.

Pelaksanaan program-program yang mempunyai nilaidan norma-norma pendidikan di sekolah perlu diperkasakan dengan hal berkaitan keperibadian guru,budaya sekolah serta aktiviti-aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan dalam usaha membentuk moral dan rohani murid yangbaik dan sempurna. 

Dalam usaha untuk membentuk jati diri murid,seharusnya perkara yangpaling dekat dengan mereka di sekolah perlu diberi perhatian oleh semua pihakiaitu keperibadian guru. Guru merupakan insan yang paling rapat dengan murid di sekolah sepatutnya menampilkan perwatakan yang positif ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. 

Perwatakan dan sifat guru yang amanah, bersopan santun, jujur,penyayang, penyabar,sedia berkorban, sedia memberi pertolongan dan berdedikasi perlu diterampilkan supaya menjadi ‘role model’ kepada pelajar di sekolah. Selain itu, guru memainkan peranan pentinguntuk membawa watak orang yang taat kepada amalan agama terutamanya berkaitan solat,puasa dan lain-lain yang penting dan menjadi rujukan murid disekolah.

Dengan hal yang demikian, murid-murid di sekolah akan berusaha untuk mencontohi sifat dan perwatakan guru di sekolah serta cuba untuk mengaplikasikan amalan hidup beragama dalam kehidupan seharian mereka.


Amalan yang sering diperhatikan oleh murid sudah tentu akan cuba ditiru oleh murid di mana sahaja mereka berada maka sudah tentu guru merupakan satu daripada individu yang akan menjadi tempat rujukan dan tempat untuk mendapatcontoh teladan yang baik untuk dijadikan amalan di mana sahaja mereka berada. 

Selain itu, pembentukan jati diri murid juga dipengaruhi oleh budaya sesebuah sekolah.Budaya sekolah yang sering mempraktikkan sikap amanah,ketekunan, cintakan kecemerlangan, berkasih saying, tolong-menolong,kesantunan akhlak, dan mengamalkan kehidupan beragama adalah elemen danaspek yang perlu diberi perhatian supaya dihidupkan dan dihayati secara berterusan dalam diri murid-murid.

Pihak pentadbiran sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan aspek budaya sekolah yang baik diberikan perhatian secara maksimum dan berkesan dalam usaha membentuk jati diri murid yang mulia. Di samping itu, dalam usaha membentuk jati diri murid yang baik, aktiviti sampingan seperti kokurikulum yang mengandungi unit beruniform, persatuan,kelab dan kegiatan sukan perlu diberi perhatian yang khusus oleh semua pihak termasuklah guru, ibu bapa, pentadbir sekolah dan PIBG. 

Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru sebenarnya dapat menyuburkan sifat positif terhadap semangat bekerjasama, berdikari, tolong-menolong, berdisiplin dan bersemangatpatriotik. 

Menurut Ruzain Syukur Mansor (2008) di dalam Harian Metro 16 Ogos 2008, harta paling berharga bagi sebuah negara adalah warganya sendiri. Kualiti rakyat sesebuah negara disifatkan modal insan yang perlu ditagih bagi memacu kegemilangan sesebuah negara.

Cabaran pembinaan modal insan terletak sebahagian besar di bahu pendidik. Maka guru adalah golongan yang terbabit dalam dunia pendidikan dan latihan untuk mengembangkan potensi, bakat dankualiti seseorang murid atau pelajar. 

Selain cemerlang kurikulum dan kokurikulum, langkah untuk membentuk jati diri murid ialah penerapan nilai-nilai agama dalam kalangan murid atau modal insan secara langsung. Nilai-nilai agama ini mempunyai kepentingan dalam membentuk modal insan yang diharapkan. 

Hal ini kerana jati diri dan maruah sesuatu bangsa tidak akan berlaku sekiranya tidak wujud kesepaduan antara elemen-elemen penting yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. 

Oleh sebab akidah menjadi teras bagi segala tindakan, maka pegangan agama yang kukuh dalam kalangan murid seharusnya diberikan tumpuan utama setiap masa oleh para guru. Hal ini boleh dilakukan melalui penyampaian ilmu sama ada ketika proses pengajaran dan pembelajaran (kurikulum) atau ketikamengendalikan aktiviti kokurikulum. 

Semuanya demi menjadi modal insan berguna di dunia dan di akhirat. Dengan akidah yang kental, murid-murid akan menjadi modal insan yang kuat dari segi rohani dan mampu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah yang akan merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. 

Murid-murid yang disemai dengan nilai-nilai agama yang kental akan mampu menolak dan menghalang pelbagaian asir jahat. Secara berperingkat, keadaan ini akan melahirkan suasana hidup yanglebih sihat dan sejahtera. 

Oleh itu, menurut Tajul Ariffin Noordin (2007), kekuatan akidah hendaklah menjadi paksi kurikulum merentasi semua matapelajaran.Tidak dapat dinafikan bahawa senjata bagi sesebuah tamadun dankemajuan bangsa bertitik tolak kepada mantapnya ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan berpandukan kepada kekentalan pendidikan agama dan pengamalan ajaran beragama. 

Oleh itu, modal insan yang akan disemai dengan sifat-sifat ini melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang mereka lalui di sekolah akan dapat membentuk mereka menjadi modal insan yang diharapkan. Langkah menabur nilai-nilai agama yang murni dan baik ini boleh dilakukan melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran mata-mata pelajaran wajib atau teras serta elektif di sekolah. 

Di samping itu, para guru khususnya guru Pendidikan Islam serta guru yang beragama Islam dan para guru  Pendidikan Moral bagi yang bukan beragama Islam harus berusaha menerapkan nilai-nilai agama yang universal dan bersesuaian untuk semua murid sebagai contoh menghormati ibu bapa,amanah, ikhlas, menepati janji, bersyukur, tolong-menolong dan sebagainyadalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dan juga melalui aktiviti kerohanian yang boleh diadakan di sekolah seperti sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya. 

Semua ini adalah untuk melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri mulia, selaras dengan harapan negara untuk membentuk modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. 

Dengan yang demikian, tidak mustahil Malaysia akan meraih modal insan yang beragama Islam yang akhinrya menjadi mukmin profesional satu hari nanti.Nilai-nilai agama serta akhlak pekerti yang baik dan mulia adalah tunjangperibadi yang amat penting untuk setiap individu. Inilah yang seharusnya disemai oleh para guru dalam kalangan modal insan yang mereka didik kerana umum menyedari bahawa masyarakat akan menjadi lebih selamat dan tenteram seandainya mereka menghayati dan mengamalkan nilai-nilai agama yang telahditerapkan. 

Semua agama membentuk penganut-penganutnya atau pengikut-pengikutnya menjadi manusia yang mencintai keamanan, menghargai kedamaian dan kemajuan. Walaupun terdapat perbezaan fahaman, namun ini adalah satu usaha pembangunan modal insan yang mampu memupukperpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama. 

Sebenarnya, cabaran besar yang perlu diaplikasikan secara kolektif dalam usaha membentuk jati diri murid adalah dari segi kaedah atau strategi untuk menerapkan nilai kerohanian melalui tiga bidang atau fakulti yang memerlukan pelaksanaan secara sekata iaitu pengisian roh, akal dan jasmani murid-murid.

Ketiga-tiga pengisian ini bermula daripada kerohanian seharusnya berlandaskan sumber yang berautoriti dengan merujuk sumber ketuhanan dan kenabian, akal yang perlu bertunjangkan aspek kognitif yang menunjuk arah bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri serta jasmani yang mengamalkan gaya hidupsihat seperti beriadah, mengisi masa lapang dengan baik serta menjaga tabiat pemakanan yang perlu diterapkan secara optimum dan berkesan dengan bantuan dan bimbingan guru.

Rujukan

Hussain Mohamed (1998). Globalisasi Dalam Pendidikan :Dewan Masyarakat.

Syed Ismail B Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon (2010) Guru dan CabaranSemasa. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. :Puchong, Selangor

Mok Soon Sang (2007) Pengantar Pendidikan Teras. Kumpulan Budiman Sdn.Bhd. :Subang Jaya, Selangor




Kepelbagaian Budaya 








Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi 

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140514/re_07/Guru-dan-cabaran-semasa

Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi



Gejala Sosial 





Video: Gejala Sosial di Kalangan Remaja




                                            
Video: Masalah Gejala Sosial



2 comments: